Lagi-lagi derap kakimu di koridor yang kosong. Aku jadi hafal tumitmu mendarat dahulu - enam derap di setiap lapan saat. Jam lapan, dan kau keluar membuka peti surat mengambil akhbar bahasa inggeris lalu kembali. Aku tunggu tiga minit, dan kau panggil aku.
"Sarapan," katamu. Aku senyum dan ekori kau ke dapur. Kau bancuh kopi di cangkir putih - harumannya semerbak menusuk masuk ke setiap penjuru rumah. Aku ambil cangkir berwarna sama dan bancuh milo kosong. Mangkuk kecil putih berisi telur separuh masak aku beri. Telur separuh masak paling lazat dalam dunia. Aku sering ketawa bila kau kata begitu.
Aku hirup Milo kosong sambil perhati kau membaca akhbar kegemaranmu. "Berita apa pagi ni?" soalku. Kau ceritakan dalam bahasa asing. Aku dengar penuh perhatian, satu-satu tak mahu silap. Sesekali aku bertanya bila kurang faham. Ada kala, pendapat kita bertukar, isu jadi lebih luas. Pernah sekali aku bertanya dalam bahasa ibunda. Kau minta aku soal kau semula dalam bahasa inggeris. Lama-lama aku jadi fasih sepertimu.
Jam sembilan kau bangun masuk ke kamarmu. Dari dalam, kau jerit pinta aku persiapkan pakaianmu. Selepas seminggu bercuti dari tugas, hari ini kau mengembara lagi. Kain pelikat lusuhmu kau campak ke bibir bakul pakaian kotor. Sambil menunggu kau mandi, cepat-cepat aku kemaskan keperluan kau. Satu-satu tak mahu tinggal. Terkadang hayal, dari belakang kau datang dan rangkul bahuku sebelum kau curi-curi cium pipiku. Sama seperti selalu.
Kau ketawa bila aku mula gelisah dan bermuka merah. Kau ambil baju dan seluar di hujung katil dan mula bersiap. Aku paling semula - malu. Kau kata, aku isterimu yang pemalu. Buat kau rindu dan tak puas mengusikku. Semakin ingin kau pergi mengembara, semakin banyak usikanmu. Aku duduk di birai katil melihat engkau mendandan rambut dan membetulkan letak duduk pakaian di tubuhmu. Satu-satu aku perhati.
Jam sembilan tiga puluh, kau ambil kunci 'prime mover', kau pra-panas enjinnya dan kembali. Aku bekalkan kau kek coklat yang aku bakar semalam. Kau pesan, seketiadaanmu, usah sedih, usah rindu-rindu. Doakan sejahteramu selalu. Aku salam dan cium tanganmu - lama. Kau kucup dahiku lama. Kau pinta aku cium pipimu bertalu-talu - tidak seperti selalu. Pintu masih belum dibuka, dan kau tagih pelukan dariku penuh erat. Sebenang aneh bersimpang di fikiranku cepat-cepat aku sangkal. Semoga kau selamat sepanjang perjalananmu, Sayang.
Tiga hari berlalu. Jam tiga pagi, aku terjaga dengan peluh yang memercik di dahi. Dalam mimpi, kita bercanda, kau kejar aku sehingga aku jatuh. Dari jatuh ke pangkuanmu, sesaat aku jatuh ke gaung tidak jauh dari tempat perkelahan kita. Sekuat hati aku laung namamu. Aku cuba berpaut, tapi terlepas. Bayangmu terus menghilang. Gelap dan aku kembali terjaga. Nafasku berselirat. Aku ratib zikir penenang diri. Aku bangun, cuci muka dan kembali ke kamar dengan telefon bimbit berdering minta dijawab. Panggilan dari dia buat aku sedikit lega.
Kelegaanku bertukar aneh bila Inspektor Hisyam yang bercakap dan meminta aku bertenang. Katanya, lori yang kau pandu mengelak kereta dan gagal dikawal. Kau jatuh gaung. Tiada sepatah kata dapat aku ungkap lagi. Cuma air mata mengalir sepi. Lama aku terduduk di birai katil - cuba menerima berita yang aku terima. Sekali lagi aku terima panggilan. Kali ini, inspektor Haliza meminta aku datang ke hospital membuat pengecaman mayat. Luruh jantungku.
Lima bulan berlalu, langit masih kelihatan kelam, tak menampakkan bintang dan bulan. Suasana jadi suram. Aku jadi ingat waktu engkau masih di sini. Kau sering duduk di meja tulis menghadap tingkap sambil menghirup kopi. Aku selalu duduk bersimpuh di lantai sambil kepalaku aku landaikan diribamu. Kau usap kepalaku kau ceritakan pada aku tentang perjalananmu melepasi padang yang kontang, tentang kuda di anginan, dan tentang sampan di sungai yang panjang.
Aku selalu langut, seketika hanyut. Lalu kau dendangkan aku dengan lagu tentang namaku. Kau lagukan sebuah keindahan rembulan dan bintang-bintang yang gah di dada langit. Sebelum aku kau baringkan di bawahnya dan kau rapati seeratnya. Di lenganmu, aku akan memelukmu dengan lembut. Mataku tertutup, tapi belum tidur. Kau kucup dahiku terus kau ratibkan zikir-zikir penenang, dan aku ikut perlahan-lahan sampai terpejam.
Aku ulang lagi seperti kau masih di sini - di hadapanku, di sisiku, di pelukanku, atau di mana-mana saja aku berdiri. Tapi kau tidak pernah kembali. Kerusi itu terus kosong sama seperti kamar yang kehilangan cerita-cerita dari mulutmu yang tak pernah habis. Angin kuat dan hujan yang tiba-tiba turun sedarkan aku dari hayal. Lima bulan sudah berlalu, hati masih dihurung walang. Malam mula jadi medan tempat air mata mengalir.
Aku jadi gagap bila kau tiba-tiba tiada. Setelah kematianmu, aku mulai jadi rindu pada usik manjamu. Waktu hayalku jadi lebih panjang bila kau tidak muncul bersama kucup curimu dari belakang. Waktu aku bersarapan jadi kosong tanpa diskusi isu di dada akhbar bersama kau seperti selalu. Aku berada di tempat sama melihat semua kawasan yang pernah engkau duduki. Dalam mataku cuma nampak satu: kita pernah berdiri di sini.