Senyap.
Sunyi.
Sepi.
Kaku.
Mati.
Tanpa suara.
Tiada nada.
Tanpa cinta.
Tiada hati.
Hati aku terasa seakan mati. Mati dalam menahan rasa rindu. Semakin hari suaramu begitu perlahan. Sayu aku dengar di sini. Sepatah dua kata terluah untukku. Mengalir air mata kerinduan aku untukmu. Di manakah kamu, Sayang? Aku sering menunggu waktu ceriamu supaya aku dapat berbual panjang denganmu. Aku rindu kata-kata cintamu. Aku rindu kata-kata nasihat darimu yang penuh dengan pujukan sayang itu.
Credit to Mr. Google |
Namun, dalam pada kau katakan begitu, pernah kau lukakan hatiku. Ada saja perilaku yang aku pamerkan mengundang amarahmu. Kau tegur tingkah lakuku. Kau sekat sedikit kemahuanku. Tapi kau tetap tunaikan permintaanku. Kau masih penuhi segala keperluanku... Kau katakan yang aku di bawah tanggungjawabmu.
Masih jelas ditelingaku saat aku gagal menyediakan kelengkapan harianmu, kau katakan yang aku tak boleh diharap. Kau sering katakan aku seperti anak kecil belasan tahun yang tak tahu apa-apa. Kau katakan aku tak tahu menghargai tiap pemberianmu. Kau sering katakan cinta tapi nada suaramu seakan kau muak terhadapku. Kau katakan sesuatu seolah-olah aku tidak bersyukur memilikimu. Kau suakan sesuatu yang tak mungkin akan kau perolehi bila berjauhan dariku. Namun, sedarkah kau bila aku memintanya bila ada dihadapanmu, kau menolak memberi seribu satu alasan palsu. Lalu seringkali aku menangis mendengar tiap patah permintaanmu yang pernah aku suakan kepadamu. Aku terjerut rasa bila sering kau lakukan kepadaku.
Mahukah kau tahu? Roh dalam jiwaku sentiasa meronta mahu kau katakan sesuatu yang baik buatku? Sering mahu kau katakan yang kau cintakan aku ikhlas dari lubuk yang paling dalam dari hatimu. Roh dalam jiwaku sentiasa mahukan yang suci dan tulus lahir dari dalam jiwamu. Kau mahu tahu kenapa? Supaya aku dapat merasainya jelas meresap dalam jiwaku. Meresap satu persatu ke dalam sendi dan salur darahku.
Kau tahu, hatiku kini seperti lorong-lorong gelap tanpa kau di sisi. Lorong yang terlalu gelap tanpa secebis cahaya menyinari. Kau seakan semakin jauh dari hidupku biarpun hampir setiap minggu kita akan bersua muka. Kau tetap di situ dan aku juga masih di sini. Kau masih mencari keperluanmu dan membiarkan aku menanti dirimu di sini. Ya, aku tahu. Kau berikan aku segalanya milikmu hingga kau tak mampu memiliki apa yang kau mahukan. Hingga segala yang telah kita rancangkan tergendala di tengah jalan. Segala yang kita impikan tidak ternyata pada tarikh yang telah kita nantikan. Maafkan aku untuk itu.
Saat kau katakan segalanya, aku hanya mampu menangis tanpa suara. Aku hanya mampu membisu tanpa suara. Aku hanya mampu tersenyum tanpa bahagia. Aku hanya mampu berpura-pura tanpa rela. Aku hanya melakukan segalanya dengan terpaksa. Aku jadi insan yang selemah-lemahnya. Aku bagai manusia yang tiada nyawa. Biarpun kau memarahi aku, saat kau mahu melepaskan aku dari pandangan matamu, kau masih meninggalkan tanda kasihmu itu di dahiku. Kucupan kasih itu aku terima. Kau pergi tanpa menghantar aku di hujung perjalanan cinta kita. Biarpun hatiku terlalu meronta mahu kau tunggu aku hingga aku berlalu jauh dari pandangan mataku.
Jelas dalam hati aku, aku terlalu merindui dirimu. Aku seru namamu. Berkali baru kau menyahut seruanku. Aku pesan padamu agar kau seru namaku. Hingga dini hari, tiada satu panggilanmu aku terima. Aku seru pula namamu. Berkali-kali aku seru tanpa jemu. Hingga aku rasa terlalu letih memanggilmu. Tangisan itu mengalir lagi seperti tidak mahu berhenti galaknya. Lalu hamparan itu aku landaikan. Lesu aku diperbaringan.
Kali ini, kau menyeru aku. Berkali-kali. Apa rasanya ya bila seruan demi seruan itu tidak ada siapa yang menjawab? Apa rasanya bila kau perlukan aku, tapi aku langsung tidak menghiraukan kamu? Aku ada di sini. Sengaja aku malas menjawab panggilanmu. Aku malas mahu bertelagah denganmu. Aku takut air mataku mengalir saat kau memarahi aku. Maafkan aku kerana aku sedang mematikan jiwaku terhadap tiap kata-kata amarahmu.