Sepanjang hari, kesihatan aku semakin tidak memuaskan. Sebelum bertolak untuk kembali ke sana, aku hanya makan lontong separuh hidangan di kedai Atuk Soto. Aku selesaikan segala urusan dengan pihak ceti haram bank dan segera meninggalkan rumahku untuk terus pulang ke kota rindu.
Sepetang perjalanan aku ke sana. Jam 8 juga baru aku tiba di destinasiku. Dia datang menjemput bersama ketuanya yang sudah dianggap bapa. Batuk masih memenuhi hidupku. Ketua minta dia membeli penawar buat batuk aku. Dia menurut.
Seperjalanan mahu menjamah makan malam, ketua meminta aku menelan penawar yang dia beli untuk aku. Aku jadi lupa pada perut aku yang masih belum di isi sejak jam 11 pagi tadi. Aku telan penawar dengan bersahaja. Enak rasanya.
Tiba di Taman Sentosa, kereta di parkir elok di tepi bangunan. Ketua mahu ke dobi terlebih dahulu mengambil pakaian miliknya. Maklumlah, hidup membujang tanpa isteri di sisi..
Lalu tangan aku dipimpin menuju ke satu gerai di tepi jalan. Aku tersenyum melihat gelagat itu.
Teguran wanita-wanita dan suami mereka di situ kami jawab dengan mesra. Kami makan di situ dan berbual mesra. Banyak hal yang menjadi topik utama kami. Seperti rakan yang dah kenal 5 6 tahun, kami sangat mesra bergelak ketawa.
Nasi lemak itu aku jamah separuh hidangan. Saki baki makanan aku, dia yang menghabiskan. 5 minit berlalu. Perut aku mula memulas. Kepala aku pening. Aku rasa melayang. Aku tanya dimana tandas. Lalu aku minta mahu ke sana. Aku bangun perlahan. Terasa aku sudah tak jejak dibumi. Aku gagahkan diri. Dia hanya jadi pemerhati.
Lama aku di situ. Segala isi di perut terhambur keluar. Muka yang sugul aku cuci. Aku melangkah goyang. Macam orang mabuk berjalan. Aku terhoyong-hayang. Saat nak melintas jalan, dia masih lagi memerhati. Aku
pandang matanya dengan penuh mohon simpati. Hanya berdoa dalam hati agar dia datang memimpin aku ke gerai itu semula. Dia tetap duduk di situ memandang tepat kearahku. Hampir saja aku dilanggar kereta jika aku masih bergerak perlahan. Dan dalam samar remang pandangan aku, aku pandang matanya. Aku duduk di sisinya. Denyutan di kepala masih lagi terasa. Lalu aku diminta berehat di dalam kereta. Sejenak aku pandang wajahnya mohon simpati sekali lagi. Tapi dia tetap kaku di situ.
Aku bangun bersama botol mineral dan kunci kereta di tangan. Dengan perlahan,aku bangun dan jalan ke kereta dengan terhoyong-hayang. Dia tetap kaku memandang tidak mengerti bahasa mataku.. Lama aku sendiri di situ. Air mineral aku teguk. Mual tekak aku. Pintu kereta aku buka dan aku muntah di situ. Aku berkumur dan tersandar lesu. Aku memanggil namanya sayu. berulang-ulang kali biar pun aku tahu dia tak mampu mendengarnya, aku tetap begitu hingga aku terlena.
Entah sampai pukul berapa kami di situ. Hingga dia datang untuk mengambil rokok. Ya, dia menghisap rokok.
Dia mengejutkan aku dan kembali ke gerai yang diduduki tadi, meninggalkan aku keseorangan di dalam kereta.
Aku gagahkan diri untuk bangun. Aku keluar dari kereta dan berjalan perlahan menuju ke arah mereka yang rancak berbual. Aku duduk di sisi dia. tak sampai setengah jam, pemilik gerai mahu pulang. dan kami pun berundur ke belakang. Aku di hantar pulang ke syurga. Dia dan ketua pulang selepas dia memberi satu kucupan di dahi. Jumpa lagi pagi esok. Selamat malam, Sayang.
26.05.2011
Genap setahun erti kata cinta buat kami berdua. Cinta yang ada dari aku buat dia bermula tarikh ini setahun yang lalu. Hingga jam satu pagi, aku masih terkebil-kebil memandang syiling di atas tilam spring di dalam bilik. Batuk masih lagi tersisa. Entah pukul berapa aku terlena. Jam enam pagi, aku tersedar semula dari lena. Tak dapat aku memejam semula mata. Terasa kantuk, tapi amat sukar dilelapkan. Lalu aku membersihkan diri dan menunggu hingga siang. Pintu balkoni aku buka memberi sinaran cahaya masuk ke ruang tamu. Aku menunggu hingga dia datang kepadaku.
Jam lapan pagi, dia datang bersama ketua dan membawa aku pergi dari situ. Aku dihantar ke stesen komuter selepas sarapan pagi. Aku bergerak sendiri ke kolej. Dia ada tugas yang perlu diselesaikan. Ciuman kasihnya di dahi aku terima. Itulah satu hadiah terindah yang tak pernah dilupakan tiap kali mahu berpisah denganku. Satu cara yang membuat aku terlalu merindui dia.
Tapi sayang... Apa yang aku harap-harapkan tidak terlaksana jua. Ternyata, mimpi lebih indah daripada realiti. apa yang aku harap, hampir semua tidak menjadi nyata. Lafaz lamaran darimu masih belum aku terima bila kita berdua. Belaian mesra darimu seperti dulu juga kabur dipandangan mata. Hanya pandangan sepimu yang ada. Lalu, biarlah segalanya di sana. Selamat Ulang Tahun Pertunangan.