kredit to: madadikan |
Pada asalnya kanvas putih itu milik engkau. Dari jauh kau nampak aku tekun memandang engkau melorek warna di dinding batu. Lalu kau datang mendekat. Kau beri aku kanvas putih itu bersama lima cat warna berbeza - biru, merah, kuning, putih dan hitam. Kau pinta aku coretkan warna-warna itu di atas kanvas yang kau beri tadi. Aku terkebil-kebil memandang engkau - bisu. Kau ulang suara - minta aku ambil kanvas putih dan cat warna di tangan engkau. Tiga saat bertukar menjadi tiga minit. Aku ambil juga pemberian engkau.
Aku bungkam bila engkau minta aku mula mewarna. Apa yang aku harus warnakan? Apa yang harus aku coretkan? Lalu kau katakan tentang perasaan. Kau kata warna hati setiap manusia berbeza. Tadinya aku melihat dia mewarnakan perasaan milik dia di dinding batu balik sana. Kali ini, giliran aku tiba. Bukan pada dinding batu, namun sekadar pada kanvas bisu. Perlahan, aku bangun dan letak kanvas dan cat warna pada bangku kayu. Aku cari berus warna dan air putih. Aku hampar kanvas pada meja bulat. Aku gerakkan tangan perlahan-lahan dengan mata terpejam. Percaya tentang perasaan. Aku celup berus pada cat warna dan lukis tanpa mata terbuka - memohon pada Tuhan agar tenang hadir dalam jiwa.
Pasir masa terus turun dari balang kacanya. Dan aku terhenti dari melakar warna pada kanvas setelah hilang semua getar di dada. Mata terpejam kini aku buka. Aku terdiam. Mataku tertancap pada kanvas yang tidak lagi putih. Dari jauh, kau menoleh kepada aku. Kau datang mendekat melihat hasil contengan aku. Kau terdiam. Perlahan-lahan, kau kata hati aku berwarna-warni seperti pelangi. Kau memuji dengan rasa teruja di hati. Kau kata aku berbakat, itu dan ini. Kau lambung aku terlalu tinggi. Kau senyum senang hati. Aku cuma duduk di bangku kayu. Memandang kaki berselipar baldu biru. Mencari hijau rumput di lantai kaki. Mohon oksigen buat aku kembali bernafas.
Tapi itu dulu. Sebelum lalang meliuk lentok ditiup angin. Sebelum racun kau tabur sebagai ganti baja pada pohon yang subur. Sebelum bulan yang kau puja-puji menjadi lumpur. Kata sasterawan dunia, manusia memang begitu. Sering lupa malah alpa. Leka pada apa adanya. Mereka yang berkata, kita yang jadi mangsa. Biar busuk mana lumpur yang terpalit di dahi, akan aku hakis dan kikis. Biar hati terus bersih, dan lua diri kembali bersih. Biar engkau berkata melambung tinggi melangit - aku tidak peduli lagi. Biar aku cacat dan cela - dulu engkau juga kata tidak mengapa dan terus kata suka. Biar engkau membenci dan menghina - aku tidak boleh memaksa kerana aku tidak memegang hati manusia. Aku biar engkau terbang biarpun engkau cuma lalang, kerana aku rumput terbuang - terus kekal rumput sampai nyawa hilang dari badan.
Belum Lupa.
Aku belum lupa
bentuk bulan yang kelihatan bulat
yang dipandang indah dari bumi
yang dipuja dengan teruja hati.
Aku belum lupa
lumpur yang kau palit di dahi
yang dihidu busuk serba serbi
yang dihina dengan teruja hati.
Aku belum lupa
kau himpun bulan dan lumpur
kau rangkumkan di kanvas beku
atas wajah milik aku.
Bandar Baru Bangi
08012013 , 22:29