credit to: womendefence.com |
Awan larat, kaburkan pandangan mata aku.
Angin sepoi-sepoi, berikan aku udara untukku bernafas.
Di langkah permulaan garisan, kumpulan harmoni bersetuju menggunakan isu penceraian sebagai isu paling mudah untuk 'didebatkan' di dalam Debat Perdana subjek Pemikiran Kritis dan Kreatif awal pagi esok.
Berjalannya pembahagian tugas, pencarian kata-kata kekunci, isi-isi penting dalam membina hujah dan sokongan melawan pembidas kata, maka jari mula mencari kata kekunci buat mencari fakta disebalik penceraian. Naskhah demi naskhah dibelek. Helaian demi helaian dibaca. Perenggan demi perenggan disemak sehalus benang sutera.
Saat membaca fakta penceraian itu tidak adil dilakukan apabila suami menceraikan isteri di dalam keadaan haid dan selepas menyetubuhi isterinya, dada jadi sebu tiba-tiba. Seperti gumpalan awan menutupi langit menghalang laut memandang langit, si kekasih hati. Bagai ombak menghempas pantai. Bak angin memecahkan awan, menyelerakkan pergerakannya.
Diri terbayang peristiwa satu waktu dulu. Saat lafaz cerai kali kedua dilafazkan buat si isteri yang menggendong bayi perempuan. Dalam tunduk, ada getar pasrah hati seorang wanita yang pernah meninggalkan kasih dan sayang yang telah terbina. Ada nafas nak terhenti seketika. Ada nafas yang bergelombang membara. Ada jiwa yang tidak mengerti apa-apa. Apa benar si kecil milik yang kedua. Atau si kecil sebenarnya milik kekasih pertama? Salah siapakah sebenarnya? salah si dara yang terlalu cepat melangkah pada yang kedua, atau salah si uda yang terlalu awal mentafsir situasi tanpa selidik dari pihak si dara?
Saat kenangan kisah cinta si uda dan dara diulang tayang buat entah yang keberapa, jiwa terketar menahan rasa. Saat potret yang diabadi bersama terpampang diruang mata, dada sebak tidak terkata. Sejauhmanapun tanggapan si anak tentang rasa bahagia ibu dan ayah, kenyataan sebenar tetap menyesakkan dada. Hati dan jiwa masih meronta melihat senyum dan tawa mesra bahagia milik mereka bertiga di purba usia. Hati-hati bahagia langsung hiba berduka. Lalu terbang di jendela usia menjadi teman sekalung rasa.
Andai patah tumbuh hilang berganti, namun sirah yang terpalit, memori yang terlakar, ukhwah yang telah terbina tetap mendatangkan getar dalam jiwa. 'Dia' tetap bukan milik'nya' sepenuhnya. ''Dia'' hanya pinjaman dan amanah untuk dijaga. Biar 'dia' adalah anugerah yang bakal dimiliki sepenuhnya, hanya Tuhan penentu segalanya. Moga dipinjamkan buat'nya' kekuatan untuk diri'nya' bangkit menahan getar dan gelora jiwa. Moga kuat selalu.