Credit to: 12ERF |
Tidak ada kata-kata tidak untuk kesalahan yang aku lakukan. Aku mengaku itu adalah kesilapanku. Dan dengan tegas, kau katakan bahawa kau tidak menerima sebarang kata maaf dariku. Malah, apa saja kata usikan yang aku tujukan buat kau beberapa hari sudah tidak membawa apa-apa makna buat kamu. Segalanya terbang terus dari syurga kayangan. Nafas rinduku hilang dibawa angin yang menderu tidak sampai ke ruang rindu.
Apa lagi yang dapat aku katakan ? Apa pula yang harus aku katakan ? Hati ini cuma buat kamu biarkan kau kata janji itu bagai janji palsu. Rasa suka dan duka terhenti saat ini. Tidak tahu mana satu rasa yang terbit dalam jiwa biarpun tanpa sedar air mata itu menitis jatuh tiba-tiba.
Setitis.
Dua titis.
Tiga titis.
dan airmata itu mengalir deras secara tiba-tiba tanpa suara. Tubuh berpaling menghadap dinding kosong berwarna hijau laut. Badan secara tiba-tiba menjadi panas berbahang. Suhu naik mendadak bagai gunung berapi ingin memuntahkan laharnya. Tubuh bingkas bangun menuju ke bilik air menyucikan diri.
Saat pintu almari terbuka, terlihat sepasang pakaian miliknya terlipat kemas dalam susunan. Ada satu keratan surat kiriman pos daripadanya lewat sebulan yang lalu. Terpandang pula kad yang belum bertulis apa-apa ucapan yang dibeli semasa percutian lalu untuk dia. Tangan segera mengambil soket "seal" pemberian dari dia di dalam bekas pensel meja tulis. Soket "seal" digenggam erat dan dibawa ke dada. Tubuh direbahkan di atas katil. Niat hati ingin melelapkan mata gagal.
Suhu badan kembali naik memuncak secara tiba-tiba. Panas seluruh badan sudah tidak dapat dikawal. Kaki tangan sudah menggeletar tidak tahu punca. Air masak ditelan hingga habis separuh jag. Suhu badan kelihatan surut, namun suhu di wajah masih tidak surut-surut. Mata semakin berpinar-pinar menahan pedih. Rambut separas bahu diikat kemas. Wajah yang putih telah bertukar merah sedari tadi. Diri bangun untuk menambah kelajuan kipas siling. Kipas dilajukan hingga tahap 5. Saat ingin kembali ke katil, dapat dirasakan tubuh semakin berat. Dan, dunia kelihatan gelap serta merta.
Diri berasa berada di awang-awangan saat itu. Terasa ada sesuatu yang membawa diri terbang jauh ke kayangan syurga. Warna-warna pelangi menembusi awan-gemawan yang menjadi lantai saat itu. Terdetik persoalan, adakah aku bermimpi? Aku meneruskan perjalanan melihat keindahan di sekeliling. Setelah merasa terlalu jauh melangkah, diri duduk di atas sekepul awan tebal berwarna putih. Saat itulah kepala mula dilanda kesakitan yang teramat sekali lagi. Serangan yang datang secara tiba-tiba tidak mampu ditahan oleh diri dan tubuh terdampar seorang diri di situ.
Bibir meminta air berulang-ulang kali cuba menurunkan suhu tubuh badan. Namun panggilan itu tidak dijawab oleh sesiapa. Tangan cuba diangkat separa bahu mengharap ada sesiapa yang sedar kehadiran diri di situ. Namun, cubaan itu sia-sia apabila terkenangkan cuma diri sendiri yang berada di situ. Entah berapa lama aku terbaring lesu tanpa minum dan makan. Perut yang sedia ada kosong bertambah pedih.
Setelah sekian lama menanti, kelihatan satu lembaga berwarna hijau datang menghampiri. Dia bertanya, apakah yang aku lakukan di kayangan itu? Aku yang tergamam melihat kehadiran lembaga itu hanya terdiam memandangnya.Dia datang mendekat dan terus mencempung aku membawa pergi ke sebuah bangunan besar berupa istana. Aku dibawa masuk ke dalam sebuah kamar besar dan diletakkan di atas katil. Dayang-dayang istana datang menghampiri.
Aku dilayan bak permaisuri raja yang sedang gering. Dipanggilnya tabib di raja untuk megubati aku. Pakaianku ditukar oleh dayang-dayang yang bertugas. Sutera itu sungguh lembut dan wangiannya mampu menenangkan jiwaku. Sanatapanku diberi dan aku makan seenakny penuh tertib di dalam kamar itu. Buah-buahan segar dihulur kepada aku kemudiannya. Lalu datang lembaga hijau tadi merapati tubuh, begitu hampir hingga desah nafasnya dapat dirasakan. Serta merta tubuhku bergetar ketakutan.
Aku memandang lembaga itu meminta simpati. Wajah lembaga itu seperti sangat aku kenali. Dengan perasaan takut yang menyelubungi diri, aku memandang ke dalam wajahnya. Hidung mancungnya, bujur matanya, lebat keningnnya, mulus bibirnya dan lesung pipit dalam di pipinya seperti sangat aku kenali. Saat itu, lembaga hijau itu memegang tanganku dan di bawa ke dada sasa miliknya. Kulihat air mata bergenang di tubir mata lembaga hijau itu. Debaran di dadanya cukup laju hingga membuat aku turut sama berdebar.
Saat air matanya jatuh mengenai tanganku, tubuh hijaunya bertukar warna seperti manusia biasa. Dan insan yang sangat aku sayangi ada di hadapan mataku. Lantas aku peluk erat tubuh itu. Aku kemaskan rangkulanku di tubuh sasa miliknya. Aku turut menangis hiba. Wajah-wajah rindu basah dengan air mata bercampur ciuman rindu seorang kekasih yang sudah lama terpisah. Diri merasa damai berada di sampingnya hingga tidak sedar entah bila terlena.
Saat mata kembali terbuka, bayang si dia hilang dari pandangan. Awan-gemawan yang indah hilang dari bayangan. yang kelihatan adalah cahaya matahari yang menerobos masuk melalui tingkap bilik. Suasana di dalam asrama kembali mewarnai sekelilingku. Namun, masih dapat aku rasakan desah nafasnya di sisiku, damai menghangatkan malam dinginku, menyentuh erat tanganku membuai, melenakan aku.
Masih terbayang semua itu, kukuh dalam ingatanku...