credit to: paneh.blogspot.com |
Usai berperang dengan permata-permata berkilau di ruang terhad laman muka buku, si gadis bingkas bangun mencapai tuala di penyidai. Seluruh tubuh dibersihkan dan bait-bait suci kedengaran berkumandang. Senja melabuhkan tirainya di tubir alam menuntut dahi bertemu tikar usang pelapik dari terkena lantai berlubang.
Saraf-saraf di minda telah bergerak begitu cepat selepas turut serta dalam peperangan Batu Permata petang tadi. Dengan segera dan penuh tertib, tapak kaki diheret meninggalkan kotak sarang burung tempat si gadis duduk berhinggap. Kad merah keluar dari sarang dibawa bersama. Lorong usang hitam dilalui dengan penuh berhati-hati. Bunyi cengkerik hitam mengisi kesunyian malam.
Dalam sayup-sayup si gadis mendengar hembusan bayu sepi malam, kedengaran seorang lelaki menegurnya. "Ayam dik?" soal lelaki itu. Kepala lantas menoleh ke arah suara itu datang. Seorang lelaki bermata coklat berwajah manis dengan senyum penuh menggoda berdiri berhampiran si gadis, menawarkan ayam untuk diratah penuh nikmat malam itu. Si gadis hanya tersenyum dan meneruskan perjalanan. Langkah kaki dihala ke arah kedai makan yang diusahakan lelaki India Muslim berhampiran sarang burung hinggap.
Usai makan makanan ruji berserta keju yang dimakan tanpa menghiraukan pertelingkahan keluarga di sebelah meja, si gadis tertawa melihat dua ekor kucing riang menanti di hadapan kedai makan dipercayai milik kedai runcit di sebelah. Si gadis bingkas bangun melangsaikan bayaran di kaunter dan bergerak meninggalkan kedai makan tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang penuh kehairanan. Tanpa berlengah, si gadis masuk ke premis kedai berhampiran membeli sedikit barang keperluan yang telah habis diguna pakai. Dua ekor kucing yang bergurau senda tadi masih berguling-guling di atas tanah.
Dengan minda separa sedar, si gadis terlupa akan sapaan lelaki manis penuh menggoda sebentar tadi. Dengan hati riang gumbira, dia berjalan pulang ke sangkar burung hinggap melalui jalan yang sama. Talian di sini dunia bersambung dengan talian di sana dunia. Si gadis menghantar khabar usai makan atas pesan yang di sana dunia kerana khuatir kesihatan gadis- maklum saja si gadis hidup sendirian di dalam sangkar hinggap tanpa burung merpati kesayangan.
Sedang bahasa berganti bahasa antara dua dunia, lelaki berwajah manis kembali menyapa dengan sapaan yang sama menawarkan ayam yang paling lazat untuk diratah saban malam. Yang di sana dunia hairan akan sapaan misteri tersebut lantas bertanya kepada si gadis. "Siapa tu?" Tanpa banyak soal, si gadis menjawab, "Bapak ayam,". "Bapak ayam mana? Sejak bila kat situ ada jual ayam?" yang di sana dunia bertanya lagi. "Dah lama dah, sebelum puasa lagi," jawab sigadis tenang. "Bapak ayam tu jual ayam... ayam yang tuutt tu ke?" dia bertanya lagi. "Dah nama pun bapak ayam, mestilah jual anak ayam. Dah kenapanya?" si gadis menguji yang di sana.
"Kenapa awak kata? Awak tu dah lah perempuan. Jalan sorang-sorang malam-malam buta. bla...bla...bla....." bak peluru berpandu menujah perut musuh yang tidak bersedia dengan sebarang senjata, yang di sana dunia membebel tanpa nokhtah. "Tak payah nak risau sangat lah, lelaki tu cuma jual ayam Uncle Bob je," si gadis dengan tenang menembak. "Uncle Bob? Uncle Bob mana?" satu lagi teka teki bermain di minda yang di sana. "Tak kenal ayam Uncle Bob? Tengah online kan? Pi la google apa itu Uncle Bob," dan sekali lagi yang di sana terkena.
Kamu tahu Uncle Bob? Pernah ratah dengan penuh berselera di tengah gelap pekat malam? Tak pernah rasa dan teringin nak rasa? Picari bapak ayam, dan beli anak ayam dari mereka. Pasti ada jual di kaki-kaki lima lorong gelap lagi berkulapok. huh. =_=
Credit to: kematz.blogspot.com |