salah satu yang dihajatkan untuk menjadi simbol, telah musnah |
Satu saat, dua saat, tiga saat. Itu saja waktu yang tinggal untuk sampai ke garisan penamat...tapi diri masih khayal dan tak sedar, banyak yang dah hilang ditelan masa berlalu, banyak yang dah terbuang dek kerana sikap kita yang mudah jemu, banyak yang kita bazirkan, walhal benda sebenarnya penting buat diri kita. Orang lelaki selalu kata, "orang perempuan ni suka main dengan perasaan ek? sikit je nak touching." Tapi hakikatnya, tak kiralah kau lelaki atau perempuan, tapi kalau memang hati kau tu hati tisu, benda kecil pun, kau boleh tersentuh, terasa hati. Lelaki, kalau dah terasa, krakatoa pun kalah...kan?
Deringan telefon itu berbunyi lagi, sekali selepas sekian lama tidak berbunyi, menandakan mungkin ada ruang di antara ruang yang sekian lama ditinggalkan kosong berlohong. Namun sahutan tidak seperti sahutan ceria si ungka di hutan. Yang terdengar cuma kucing mengiau di tepi telinga. Suara empunya diri, jauh tenggelam di telan masa. Lapan minit berlalu masih juga begitu. Sesekali nama disebut, masih seekor kucing yang menjawab. Menanti mulut untuk bertanya supaya mulut yang satu lagi boleh meluah cerita macam paip pili bomba, sampai ke sudah tetap kucing yang mengiau bersuara. Sudahnya, kedua-duanya terus bisu tidak menuturkan sepatah pun perkataan.
satu-satunya kucing terbuang yang pandai merajuk dengan adik aku. |
Si kepala batu dan sang keras kepala masih lagi diam sepi. Lantas si kepala batu mohon undur diri andai tidak ada apa yang ingin diperkatakan walau dalam hati sedang berbuku sejuta perasaan. Juga, masih seekor kucing yang menyahut. Tiada suara membantah atau menegah minta perbualan dilanjutkan. Telefon bimbit dihempas jatuh ke lantai. Tiada perubahan pada satu-satunya telefon yang ada. Sudahnya, telefon dicampak ke dinding batu tak bersuara, bantal peluk dikoyak rabak dan dibuang dalam bakul sampah, haruman kasturi peneman tidur waktu malam digunting tanpa rasa bersalah, dan setiap pemberian yang ada, musnah sekelip mata. Hancur bersepai satu persatu. Setelah hampir empat tahun, baru kali ini dia mengulangi sifat kerasnya yang satu ini. Baru kali ini dia jatuh terjelepok, selepas matahari hilang dari memberikan cahaya kepada sang bulan.
Masih, skrin bisu itu juga yang dicari. meluah sejuta rasa yang tinggal bersisa. Menerjah ruang alam tanpa rasa. Mencari sekarat keyakinan untuk kembali disalurkan dalam tubuh yang kian kontang tak berisi. Mengetuk dinding-dinding kosong tak berorang. Memahat paku-paku bahasa selepas melihat orang melapah kulit busuk dengan penuh lahap. Mencairkan semula ais-ais yang beku bersalju dikutub dunia. Dunia itu, masih lagi kaku begitu. Sampailah, matahari kembali mencari bulan yang telah kering kelayuan. Dan, kita sudahi cerita kita dengan Tasbih Kifarah dan Surah Al-Asr.
Dunia ini penuh dengan hidup yang indah untuk dikupas, dan penuh dengan hidup yang sukar dirungkai.