Karya ditulis Oleh Osson Subezza : BEBOLA MATA ATAM ALOBEB : halaman 3.
Gambarkan begini.
Mana dia payung tempat aku berteduh, kalau payung yang aku pegang sudah kebocoran tidak lagi boleh ditampal-tampal.
Mana dia dataran tempat untuk aku berpijak, kalau dataran sekarang dipenuhi air yang tidak berhasrat walau sedikitpun untuk surut.
Mana dia sampan alat untuk aku berlayar, kalau sampan yang aku naiki sudah karam; yang aku duduki cuma sekadar sebatang pisang yang menunggu masa untuk tenggelam.
Mana dia sinar mentari cahaya untuk aku lihat masa hadapan, kalau sepanjang hariku cuma mampu menghadap hujan dari pagi hingga kembali ke pagi dari hari ke hari.
Mana dia semuanya? Tatkala aku bertanya, tatkala aku bersuara, kau hanya mengatakan "Iya," tanpa memberikan apa-apa untuk aku mulakan kembali; setelah aku jatuh lagi dan lagi, berkali-kali.
Lagi-lagi derap kakimu di koridor yang kosong. Aku jadi hafal tumitmu mendarat dahulu - enam derap di setiap lapan saat. Jam lapan, dan kau keluar membuka peti surat mengambil akhbar bahasa inggeris lalu kembali. Aku tunggu tiga minit, dan kau panggil aku.
"Sarapan," katamu. Aku senyum dan ekori kau ke dapur. Kau bancuh kopi di cangkir putih - harumannya semerbak menusuk masuk ke setiap penjuru rumah. Aku ambil cangkir berwarna sama dan bancuh milo kosong. Mangkuk kecil putih berisi telur separuh masak aku beri. Telur separuh masak paling lazat dalam dunia. Aku sering ketawa bila kau kata begitu.
Aku hirup Milo kosong sambil perhati kau membaca akhbar kegemaranmu. "Berita apa pagi ni?" soalku. Kau ceritakan dalam bahasa asing. Aku dengar penuh perhatian, satu-satu tak mahu silap. Sesekali aku bertanya bila kurang faham. Ada kala, pendapat kita bertukar, isu jadi lebih luas. Pernah sekali aku bertanya dalam bahasa ibunda. Kau minta aku soal kau semula dalam bahasa inggeris. Lama-lama aku jadi fasih sepertimu.
Jam sembilan kau bangun masuk ke kamarmu. Dari dalam, kau jerit pinta aku persiapkan pakaianmu. Selepas seminggu bercuti dari tugas, hari ini kau mengembara lagi. Kain pelikat lusuhmu kau campak ke bibir bakul pakaian kotor. Sambil menunggu kau mandi, cepat-cepat aku kemaskan keperluan kau. Satu-satu tak mahu tinggal. Terkadang hayal, dari belakang kau datang dan rangkul bahuku sebelum kau curi-curi cium pipiku. Sama seperti selalu.
Kau ketawa bila aku mula gelisah dan bermuka merah. Kau ambil baju dan seluar di hujung katil dan mula bersiap. Aku paling semula - malu. Kau kata, aku isterimu yang pemalu. Buat kau rindu dan tak puas mengusikku. Semakin ingin kau pergi mengembara, semakin banyak usikanmu. Aku duduk di birai katil melihat engkau mendandan rambut dan membetulkan letak duduk pakaian di tubuhmu. Satu-satu aku perhati.
Jam sembilan tiga puluh, kau ambil kunci 'prime mover', kau pra-panas enjinnya dan kembali. Aku bekalkan kau kek coklat yang aku bakar semalam. Kau pesan, seketiadaanmu, usah sedih, usah rindu-rindu. Doakan sejahteramu selalu. Aku salam dan cium tanganmu - lama. Kau kucup dahiku lama. Kau pinta aku cium pipimu bertalu-talu - tidak seperti selalu. Pintu masih belum dibuka, dan kau tagih pelukan dariku penuh erat. Sebenang aneh bersimpang di fikiranku cepat-cepat aku sangkal. Semoga kau selamat sepanjang perjalananmu, Sayang.
Tiga hari berlalu. Jam tiga pagi, aku terjaga dengan peluh yang memercik di dahi. Dalam mimpi, kita bercanda, kau kejar aku sehingga aku jatuh. Dari jatuh ke pangkuanmu, sesaat aku jatuh ke gaung tidak jauh dari tempat perkelahan kita. Sekuat hati aku laung namamu. Aku cuba berpaut, tapi terlepas. Bayangmu terus menghilang. Gelap dan aku kembali terjaga. Nafasku berselirat. Aku ratib zikir penenang diri. Aku bangun, cuci muka dan kembali ke kamar dengan telefon bimbit berdering minta dijawab. Panggilan dari dia buat aku sedikit lega.
Kelegaanku bertukar aneh bila Inspektor Hisyam yang bercakap dan meminta aku bertenang. Katanya, lori yang kau pandu mengelak kereta dan gagal dikawal. Kau jatuh gaung. Tiada sepatah kata dapat aku ungkap lagi. Cuma air mata mengalir sepi. Lama aku terduduk di birai katil - cuba menerima berita yang aku terima. Sekali lagi aku terima panggilan. Kali ini, inspektor Haliza meminta aku datang ke hospital membuat pengecaman mayat. Luruh jantungku.
Lima bulan berlalu, langit masih kelihatan kelam, tak menampakkan bintang dan bulan. Suasana jadi suram. Aku jadi ingat waktu engkau masih di sini. Kau sering duduk di meja tulis menghadap tingkap sambil menghirup kopi. Aku selalu duduk bersimpuh di lantai sambil kepalaku aku landaikan diribamu. Kau usap kepalaku kau ceritakan pada aku tentang perjalananmu melepasi padang yang kontang, tentang kuda di anginan, dan tentang sampan di sungai yang panjang.
Aku selalu langut, seketika hanyut. Lalu kau dendangkan aku dengan lagu tentang namaku. Kau lagukan sebuah keindahan rembulan dan bintang-bintang yang gah di dada langit. Sebelum aku kau baringkan di bawahnya dan kau rapati seeratnya. Di lenganmu, aku akan memelukmu dengan lembut. Mataku tertutup, tapi belum tidur. Kau kucup dahiku terus kau ratibkan zikir-zikir penenang, dan aku ikut perlahan-lahan sampai terpejam.
Aku ulang lagi seperti kau masih di sini - di hadapanku, di sisiku, di pelukanku, atau di mana-mana saja aku berdiri. Tapi kau tidak pernah kembali. Kerusi itu terus kosong sama seperti kamar yang kehilangan cerita-cerita dari mulutmu yang tak pernah habis. Angin kuat dan hujan yang tiba-tiba turun sedarkan aku dari hayal. Lima bulan sudah berlalu, hati masih dihurung walang. Malam mula jadi medan tempat air mata mengalir.
Aku jadi gagap bila kau tiba-tiba tiada. Setelah kematianmu, aku mulai jadi rindu pada usik manjamu. Waktu hayalku jadi lebih panjang bila kau tidak muncul bersama kucup curimu dari belakang. Waktu aku bersarapan jadi kosong tanpa diskusi isu di dada akhbar bersama kau seperti selalu. Aku berada di tempat sama melihat semua kawasan yang pernah engkau duduki. Dalam mataku cuma nampak satu: kita pernah berdiri di sini.
Petang itu cuaca mendung. Ada rintik-rintik hujan turun setitis dua namun langit tak langsung menunjukkan hujan akan turun dengan lebat. Ada orang di sekeliling tasik sedang beriadah habiskan waktu lapang, ada lelaki tua memimpin tangan perempuan tua, ada anak-anak kecil bermain roller blade di satu sudut lain, ada yang bermain basikal, dan ada juga yang menunggang kuda di satu sudut yang lainnya. Amer berdiri memandang tasik buatan tanpa bercakap sepatah pun. Dia cuma berdiri memandang burung-burung yang terbang berkicau. Berbeza dengan Irdina yang wajahnya tegang petang itu.
"Kau memang suka buat aku seperti layang-layang? Awalnya kau hiaskan aku dengan indah. Kau puji aku setengah mati. Sampai satu ketika, kau ikat aku dengan tali seolah-olah aku milik kamu pada satu garis pertalian cinta. Kemudian, kau lepaskan aku naik tinggi ke udara. Kau biarkan aku sendiri di atas sana sedangkan engkau masih bebas di bawah tanpa aku. Kau sudah sanjung aku, hiaskan aku jadi seperti ratu, kemudian kau biarkan aku terbang sendiri? Bila aku sudah boleh hidup sendiri tanpa kau, bila aku sudah bercumbu dengan angin, berdansa dengan awan, berkasih dengan langit, dan bercinta dengan matahari; baru saja aku mahu melihat bintang, hari ini kau rentap aku supaya turun ke bawah dengan rakus. Kau pisahkan aku dengab angin, awan, langit, dan matahari sedangkan aku sendiri gagal hidup tanpa mereka. Kau ini manusia apa? Atau kau sebenarnya manusia yang bertopengkan syaitan, langsung tidak punya perasaan?" cukup lantang Irdina mempersoalkan tindakan Amer. Dari riak wajah Amer, dia masih kelihatan tenang.
Soalan Irdina masih dibiar tidak berjawab. Irdina penat, nafasnya ditarik panjang dan dihela sederhana kuat. Dia berpaling menghadap Amer. Sekilas dia memandang dan terus berlalu; ingin pulang.
"Kenapa kau penat? Kau belum jadi isteri aku, kau sudah menagih cinta pada manusia yang entah siapa-siapa. Kau lupa pada ikatan janji cinta kita. Baru setahun dua kita bercinta, kau sudah lelah dan mencari cinta baru. Kalau nanti kau jadi isteri aku, dan aku melayan kau begini, kau akan penat? Kau akan tinggalkan aku seperti yang ingin kau lakukan sekarang? Kau akan mencari lelaki-lelaki lain untuk puaskan hari-hari kau yang sepi tanpa aku. Macam tu?" Amer ketawa sinis.
Kali ini, Irdina diam tidak jadi melangkah. Amer yang dari tadi kelihatan tenang menyeluk tangannya ke saku seluar terus berpaling dan berlalu pergi. Irdina dibiarkan seorang diri di situ. Dia bagaikan terperangkap dalam permainan catur yang diciptanya sendiri. Checkmate pada posisi castle kiri kanan, queen atas, knight hujung-hujung.
Imaginasi lahir kerana realiti tak masuk akal, dan tidak logik. Imaginasi itu sesuatu yang engkau bayangkan, sesuatu yang terlintas di fikiran tapi tidak dapat engkau jelmakan dan tidak dapat engkau zahirkan. Selalu saja aku duduk sendirian di balik cermin kaca sebuah restoran makanan segera terkemuka negara, melihat orang keluar masuk dan lalu lalang, melihat gadis dan jejaka berpimpin tangan, melihat anak kecik dikejar bonda atau lari dari ayah bonda, melihat kenderaan pergi balik di jalanan, dan mendengar riuh rendah di kiri dan kanan.
Disebalik apa yang aku lihat itu sebenarnya kamu. Aku lihat engkau datang ke sini sambil memimpin tangan aku, kau pesan makanan dan kita duduk di satu meja asing jauh dari pandangan orang beri ruang untuk kita habiskan sisa masa yang ada bersama. Aku lihat engkau jelas di situ, tarik kerusi untuk beri aku duduk. Aku nampak engkau di hadapan aku, dengan jelas kita makan bersama sambil kau sulam dengan gurau senda yang kemudian aku tidak putus bergelak ketawa. Tapi sekali kerusi di belakang berbunyi, hilang! Semua apa yang ada di hadapan mata kabur dan terbang.
p/s: entri ini dihasilkan daripada telefon bimbit lampu kuning. Maaf untuk sebarang hasil yang tidak memuaskan dan pada komen-komen yang tidak mampu dibalas. Jumpa lagi pada siri akan datang.
Alhamdulillah, sudah secara rasmi bergelar graduan Universiti. Syukur, Tuhan atas segala kurniaan... Terima kasih mak babah, para kesayangan, para pendidik, KPTM Bangi, UiTM, sahabat sampai syurga dan seluruhnya.
Semoga ada lagi perjuangan-perjuangan mengejar sebuah cita di musim mendatang, agar terus berdiri memijak tanah dan memandang hijau rumput di kaki.
Adakah rasa yang hambar ini sebenarnya kecewa?
Hari ini, aku kalah lagi.
Lebih teruk, aku yang terjerat pada jerat yang aku pasang sendiri. Terkadang di hati rasa ingin menunjal-nunjal kepala sendiri menyalahkan akal yang berfikir. Terdetik juga ingin membaling batu pada diri sendiri atas tindakan sia-sia meracun hati. Sudahnya, aku kalah berkali-kali; seperti tidak mahu berhenti.
Masa - Padanya aku sering menjadi mangsa. Aku lelah bila kalah, terus saja aku mengalah sebelum rebah.
Pasrah.
Amarah membuak lagi. Dari hari pertama, berterusan dan berganti cerita hingga hari kelima. Usah ditanya pada hati dan rasa. Gelodak jiwa, hanya Dia yang tahu. Yang jatuh menyembah bumi, entah berapa nilainya. Dan larian-larian sumbang mengejar bayang-bayang bahagia itu nampak benar songsang. Berlari mencari cinta dan rindu di tengah rasa duka, umpama mendapat udara saat kau kelemasan dalam lautan. Ah, kalau ingin aku umpamakan rasa, sampai bila pun tidak akan ada siapa yang mampu membaca.
Amarah Liar.
Sikapnya bersuara sumbang
pada nafas-nafas asing
dengan nada yang tidak sekata
turun naik berlipat ganda
memisahkan rentak dan irama.
Wajahnya menjerit kaku
pada angin-angin liar
berhasrat memecah aura
dengan gelombang ghama
memutuskan besi dan karat,
...bila petir memanah akar
pucuk hijau nan subur
gugur juga menyembah bumi
kering dan mati.
Hadira Kifly
04072013, 09:40
Parit Raja Batu Pahat.
#entri ini dimuat naik menggunakan telefon pintar kelas bawahan. Jadi, tiada gambar dapat disertakan seperti kebiasaan.
We're not friends. We're not enemies. We're just strangers, with some memories...