Petang itu cuaca mendung. Ada rintik-rintik hujan turun setitis dua namun langit tak langsung menunjukkan hujan akan turun dengan lebat. Ada orang di sekeliling tasik sedang beriadah habiskan waktu lapang, ada lelaki tua memimpin tangan perempuan tua, ada anak-anak kecil bermain roller blade di satu sudut lain, ada yang bermain basikal, dan ada juga yang menunggang kuda di satu sudut yang lainnya. Amer berdiri memandang tasik buatan tanpa bercakap sepatah pun. Dia cuma berdiri memandang burung-burung yang terbang berkicau. Berbeza dengan Irdina yang wajahnya tegang petang itu.
"Kau memang suka buat aku seperti layang-layang? Awalnya kau hiaskan aku dengan indah. Kau puji aku setengah mati. Sampai satu ketika, kau ikat aku dengan tali seolah-olah aku milik kamu pada satu garis pertalian cinta. Kemudian, kau lepaskan aku naik tinggi ke udara. Kau biarkan aku sendiri di atas sana sedangkan engkau masih bebas di bawah tanpa aku. Kau sudah sanjung aku, hiaskan aku jadi seperti ratu, kemudian kau biarkan aku terbang sendiri? Bila aku sudah boleh hidup sendiri tanpa kau, bila aku sudah bercumbu dengan angin, berdansa dengan awan, berkasih dengan langit, dan bercinta dengan matahari; baru saja aku mahu melihat bintang, hari ini kau rentap aku supaya turun ke bawah dengan rakus. Kau pisahkan aku dengab angin, awan, langit, dan matahari sedangkan aku sendiri gagal hidup tanpa mereka. Kau ini manusia apa? Atau kau sebenarnya manusia yang bertopengkan syaitan, langsung tidak punya perasaan?" cukup lantang Irdina mempersoalkan tindakan Amer. Dari riak wajah Amer, dia masih kelihatan tenang.
Soalan Irdina masih dibiar tidak berjawab. Irdina penat, nafasnya ditarik panjang dan dihela sederhana kuat. Dia berpaling menghadap Amer. Sekilas dia memandang dan terus berlalu; ingin pulang.
"Kenapa kau penat? Kau belum jadi isteri aku, kau sudah menagih cinta pada manusia yang entah siapa-siapa. Kau lupa pada ikatan janji cinta kita. Baru setahun dua kita bercinta, kau sudah lelah dan mencari cinta baru. Kalau nanti kau jadi isteri aku, dan aku melayan kau begini, kau akan penat? Kau akan tinggalkan aku seperti yang ingin kau lakukan sekarang? Kau akan mencari lelaki-lelaki lain untuk puaskan hari-hari kau yang sepi tanpa aku. Macam tu?" Amer ketawa sinis.
Kali ini, Irdina diam tidak jadi melangkah. Amer yang dari tadi kelihatan tenang menyeluk tangannya ke saku seluar terus berpaling dan berlalu pergi. Irdina dibiarkan seorang diri di situ. Dia bagaikan terperangkap dalam permainan catur yang diciptanya sendiri. Checkmate pada posisi castle kiri kanan, queen atas, knight hujung-hujung.